suria

Ops Selamat: T'ganu Catat Kadar Kemalangan Jalan Raya Paling Rendah Setakat Ini

KUALA TERENGGANU: Terengganu setakat ini muncul negeri paling rendah mencatatkan kadar kemalangan jalan raya berbanding negeri-negeri lain menerusi statistik polis dalam Ops Selamat yang bermula 3 Feb lalu dan bakal berakhir pada 17 Feb nanti.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata setakat ini statistik menunjukkan hasil yang positif dan hampir lima peratus menunjukkan penurunan di negeri ini.

Katanya selain kes kemalangan, statistik kes pecah rumah turut menunjukkan penurunan yang sama dan pihaknya akan meneruskan rondaan bagi memastikan ianya tidak menunjukkan peningkatan yang ketara.

"Setakat Ops Selamat dilancarkan, stastistik yang diperolehi amat memuaskan dan menujukkan hasil yang positif," katanya kepada pemberita selepas mengadakan 'Reaching Out' di sekitar bandaraya di sini Isnin.

Menurutnya Ops Selamat kali ini, pihaknya memberi penekanan advokasi kepada pengguna jalanraya dan mengurangkan mengambil tindakan undang-undang.

Namun pihak polis tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, memandu laju, memotong garisan berkembar dan memotong barisan yang merupakan kesalahan paling banyak menyumbang kepada kes kemalangan jalan raya.

"Dalam Ops ini, kita mengurangkan mengambil tindakan undang-undang sebaliknya kita banyak memberi nasihat, bimbangan dan petunjuk.

"Akan tetapi jika mereka melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar kita akan mengambil tindakan segera dengan menyaman mereka," katanya.

Salleh berkata selain itu pihaknya juga memberi penekanan kepada penunggang motorsikal yang sering menyumbang kadar kemalangan maut yang tertinggi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan statistik penuh Ops Selamat berkenaan sehingga Ops tersebut berakhir pada Ahad depan. --BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain