suria

Noh Tidak Tolak Kemungkinan DAP Tolak Anwar Jadi PM

TANJONG KARANG: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar tidak menolak kemungkinan DAP akan mengikuti Majlis Syura Ulama PAS yang dikatakan menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menduduki jawatan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menguasai pentadbiran negara kelak.

Beliau berkata perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana umum mengetahui bahawa Pengerusi DAP Karpal Singh pada sekitar tahun 1996 pernah berhujah di Parlimen bahawa beliau mempunyai bukti Anwar terlibat dalam kes meliwat dan tidak mustahil DAP akan membongkarkannya sekiranya Anwar menjadi perdana menteri.

"Tidak mustahil DAP akan tampil ke depan membongkarkan bukti tersebut sekiranya Anwar menjadi perdana menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Bantuan Lesen 1Malaysia di Padang Astaka di sini, Ahad.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini yang melaporkan kononnya Majlis Syura Ulama PAS menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum ke-13.

Akhbar itu melaporkan walaupun kesahihan mengenai pendirian majlis syura itu masih belum dipastikan namun ia didakwa dibuat dalam satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa Anwar diperalatkan pakatan pembangkang semata-mata untuk mencapai kepentingan politik mereka kerana Anwar pernah menjadi pemimpin tertinggi negara dan mengetahui banyak taktik rahsia kerajaan. BERNAMA

Artikel Lain