suria

KPKK Akan Perhebat Usaha Galakkan Pengundi Keluar Mengundi Pada PRU1-3

PETALING JAYA: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan memperhebatkan usaha menggalakkan pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti, kata Timbalan Menterinya Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

"Apa yang kita fokus kali ini ialah betapa pentingnya orang awam di luar sana supaya keluar mengundi kerana PRU kali ini dilihat sebagai PRU yang amat penting kepada masa depan negara," katanya.

Beliau berkata kementerian telah memulakan langkah memberi penerangan kepada orang awam mengenai kepentingan mengundi sekali gus menyeru mereka yang layak mendaftar sebagai pemilih melalui risalah, media cetak dan elektronik.

Usaha memberi penerangan mengenai PRU kepada masyarakat akan diperhebatkan menjelang pembubaran Dewan Rakyat bagi memastikan peratusan pengundi yang keluar mengundi adalah di tahap paling maksimum, katanya.

"Kita akan perhebatkan usaha ini terutama melalui media elektronik seperti TV dan radio untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia keluar mengundi," kepada pemberita selepas menyertai majlis sambutan Ponggal dan Tahun Baharu Cina Bersama Rakyat Parlimen Kelana Jaya di Subang Jaya di sini, Ahad.

Dalam pada itu, D'Cruz memuji sikap rakyat Malaysia yang cukup terbuka dan sanggup mengenepikan soal kaum dengan bersama-sama menyambut perayaan pelbagai kaum negara ini.

"Ini membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin diterima masyarakat negara ini,"katanya.

Program tersebut dianjurkan Parti Progresif Penduduk (PPP) Bahagian Kelana Jaya dengan kerjasama KPKK. Turut hadir Presiden PPP Datuk Seri M. Kayveas. -- BERNAMA

Artikel Lain