suria

Amalan Sokong Calon Tanpa Kira Kaum Masih Relevan - Mohd Ali

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata amalan menyokong calon pilihan raya tanpa mengira kaum masih relevan diamalkan di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata amalan itu terbukti berjaya dilaksanakan melalui perkongsian kuasa antara semua parti komponen BN bagi memastikan keamanan dan masa depan negara sentiasa terjamin.

"Dari dahulu dalam Perikatan dan kini dalam BN kita mempunyai wakil terdiri daripada berbilang kaum dan calon yang bertanding di sesuatu kawasan itu tidak hanya mewakili satu kaum sahaja.

"Apa yang kita lihat ada juga antara calon Cina yang diletakkan di kawasan majoriti Melayu mendapat sokongan penuh dan sebaliknya pada pilihan raya lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA negeri di sini Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta rakyat mengenepikan sentimen perkauman dalam menyokong calon BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Mahathir berkata rakyat perlu menentukan calon pilihan mereka berdasarkan akal fikiran dan bukannya perasaan semata-mata termasuk isu calon bukan Melayu.

Justeru Mohd Ali meminta setiap kaum di negara ini agar bersatu padu dan mengenepikan sentimen perkauman dalam menyokong calon BN di kawasan masing-masing.

Pada majlis rumah terbuka tersebut, Mohd Ali turut menyampaikan bantuan kewangan tahunan berjumlah RM150,000 kepada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Tionghua di negeri itu bagi melaksanakan aktiviti kebajikan. -- BERNAMA

Artikel Lain