suria

Polis Rampas Dadah Bernilai Hampir RM500,000 Daripada Dua Lelaki

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah serta merampas dadah sintetik jenis syabu dan ecstacy bernilai RM490,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ACP Wan Abdullah Ishak berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 51 tahun itu ditahan di kawasan Bukit Bintang ketika sedang menunggu pelanggan.

"Kita percaya modus operandi yang digunakan mereka adalah menunggu pelanggan di dalam kereta di kawasan yang telah mereka (pelanggan dan pengedar) janjikan," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Dalam serbuan pertama Rabu lepas, seorang lelaki tempatan ditahan ketika berada di dalam kereta dan polis merampas sejumlah syabu dari dalam kenderaan itu, katanya.

Susulan soal siasat suspek membawa polis ke sebuah rumah di Desa Aman Puri yang dipercayai tempat penyimpanan dadah sebelum dijual kepada pelanggan dan merampas 390 biji pil ecstacy seberat 205 gram dan 300 gram syabu, katanya.

Lelaki berusia 39 tahun itu turut mempunyai 12 rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan jenayah lain, kata Wan Abdullah.

Dalam serbuan kedua pada Khamis yang dilakukan berhampiran pusat beli-belah di Bukit Bintang, polis merampas kira-kira 870 gram dadah jenis ecstacy bernilai RM90,000 daripada seorang lelaki yang berada di dalam kereta, katanya.

Kedua-dua suspek positif dadah dan ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan, katanya.

Wan Abdullah berkata pada Januari tahun ini, polis berjaya merampas dadah jenis syabu, heroin dan ganja dengan nilai kira-kira RM2.7 juta serta menahan 180 pengedar dadah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain