suria

Gaji Minimum: Majikan, Pekerja Dinasihat Rujuk Majlis Perundingan Gaji Negara

SEREMBAN: Majikan atau pekerja swasta yang berdepan sebarang isu berhubung pelaksanaan gaji minimum perlu mengemukakan masalah itu kepada Majlis Perundingan Gaji Negara untuk penyelesaian, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata majlis itu akan mencari jalan menyelesaikan masalah yang dikemukakan bagi menjamin kebaikan kedua-dua pihak.

"Polisi ini untuk setiap pekerja, ia mula diperkenal kepada pekerja tempatan namun kita juga mempunyai pekerja asing dan mereka turut menerima faedah yang sama. Bagaimanapun, ia bermula dengan tujuan mempertingkat pendapatan pekerja terutama rakyat Malaysia yang memperoleh gaji amat rendah.

"Apa sahaja isu, meskipun kecil, saya meminta mereka yang terjejas membincangkannya dengan Majlis Perundingan Gaji Negara dan cuba mencari jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Labu Bahagian 1 pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas bantahan pekerja pengeluar kereta nasional negara, Proton, di Tanjung Malim dan Shah Alam yang tidak berpuas hati dengan kenaikan gaji minimum seperti laporan sebuah portal berita semalam.

Subramaniam berkata pelaksanaan dasar gaji minimum, yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, adalah masih baharu dan sebarang dasar baharu biasanya akan menimbulkan sedikit isu, bagaimanapun ia boleh diselesaikan.

"Polisi ini akan memberi manfaat kepada negara dalam jangka panjang, dan bagi jangka pendek, akan ada beberapa isu yang berbangkit namun kita semua perlu mencari jalan untuk mengatasinya supaya pada akhirnya, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat," katanya.

Beliau berkata terdapat majikan yang dibenar menangguhkan pelaksanaan skim gaji minimum selepas permohonan mereka diluluskan majlis itu.

Bagaimanapun, ia hanya untuk satu tempoh masa yang ditetapkan.

Subramaniam berkata majikan kini tidak boleh mengemukakan permohonan itu kerana skim tersebut sudah dikuat kuasa, dan mana-mana majikan yang dibenar menangguhkan pelaksanaannya perlu berbuat demikian selepas tempoh penangguhan tamat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain