suria

Aliran Trafik Lebuh Raya Bergerak Perlahan Pagi Sabtu

KUALA LUMPUR: Lalu lintas di beberapa lebuh raya dilaporkan bergerak perlahan mulai pagi Sabtu apabila warga kota mula bertolak untuk pulang ke kampung sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Ahad.

Menurut laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah sehingga ke Plaza Tol Bentong.

Laman Facebook LLM juga melaporkan trafik perlahan di susur masuk Terowong Menora arah utara ke Kuala Kangsar.

Menurut laman Twitter PLUS pula, trafik sesak dari Bukit Lanjan ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Sungkai dan Tapah ke Gopeng.

Orang ramai dinasihatkan mengikut jadual waktu perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS dengan kenderaan bagi destinasi lebih jauh dinasihatkan keluar lebih awal.

Waktu perjalanan dari Lembah Klang ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Skudai, Senai Utara, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak digalakkan keluar sebelum 12 tengahari.

Manakala waktu perjalanan dicadangkan untuk kenderaan dari Lembah Klang ke Ipoh, Simpang Pulai, Gopeng dan Simpang Ampat antara pukul 3 petang hingga 6 petang.

Pengguna juga dinasihati mematuhi panduan tersebut bagi perjalanan pulang dari kampung masing-masing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain