suria

Tuduhan Kerajaan 'Selamatkan' Syabas Karut - Peter Chin

PUTRAJAYA: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyifatkan dakwaan Setiausaha Publisiti DAP bahawa kerajaan persekutuan 'menyelamatkan' Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) melibatkan dana yang kini meningkat kepada RM3.41 bilion sebagai karut.

Ketika menafikan 'fakta yang diputarbelit' Pua itu, Chin berkata dari segi industri air, kerajaan persekutuan tidak pernah menyelamatkan mana-mana pihak tetapi ia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat, terutamanya bagi memastikan bekalan air mencukupi.

"Dari segi penggunaan air oleh rakyat dan untuk pembangunan negara, ia menjadi satu keutamaan bagi kerajaan persekutuan. Sebab itulah sebuah kementerian khusus mengenai (isu) air ditubuhkan," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di pejabatnya di sini.

Isnin lepas, Pua, Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, mendakwa peruntukan tambahan RM120 juta bagi menaik taraf kemudahan air yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas, menjadikan jumlah dana untuk 'menyelamatkan' Syabas daripada kerajaan persekutuan kini meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Chin berkata kerajaan persekutuan tidak pernah mengambil alih bon yang keluarkan oleh Syabas dan tiga lagi pemegang konsesi Puncak Niaga, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) dan Konsortium Abass. Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah membeli atas dasar 'berminat membeli, berminat menjual' daripada pemegang bon, terdiri daripada beberapa institusi korporat terkemuka.

Perkara ini dilakukan semata-mata disebabkan kegagalan kerajaan Selangor sekarang untuk membayar pampasan kepada Syabas seperti diperuntukkan dalam perjanjian konsesi, yang sebaliknya menimbulkan masalah kepada Syabas dari segi bayaran bagi pembelian air terawat daripada Puncak Niaga, Splash dan Konsortium Abass. Chin menjelaskan berikutan itu, pengeluar bon tidak dapat memenuhi tanggungjawab mereka untuk membayar dividen kepada pemegang bon, yang menikmati dividen lumayan sebelum pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan Selangor pada 2008.

Katanya campurtangan kerajaan persekutuan berjaya meredakan kebimbangan dalam pasaran bon sambil melindungi kepentingan pemegang bon dan yang lebih penting lagi, jaminan bekalan air. "Sekiranya berlaku kemungkiran, pemegang bon berkemungkinan mengambil tindakan undang-undang yang akhirnya mengganggu bekalan air.

"Apabila berdepan situasi melibatkan jaminan air untuk kegunaan rakyat dan untuk pembangunan Lembah Klang, iaitu wilayah paling maju di negara ini, dan melibatkan ekonomi negara, kita tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang membahayakan keadaan ini. Kerajaan persekutuan akan terus komited dalam usahanya menjamin bekalan air," tegas Chin.

Beliau berkata langkah yang diambil kerajaan persekutuan itu bukanlah tindakan untuk menyelamatkan kerana dalam apa cara sekalipun, kerajaan tidak membebaskan keempat-empat pemegang konsesi itu daripada tanggungjawab kewangan mereka sebagai pengeluar bon.

"Dakwaan Tony Pua sudah keterlaluan. Ini sememangnya memutarbelit fakta. Saya harap beliau tidak akan terus mengulanginya kerana ini bukanlah perkara yang benar," kata Chin.

Mengenai peruntukan RM120 juta yang diumumkan perdana menteri, beliau menegaskan bahawa dana itu benar-benar diperlukan memandangkan kerajaan Selangor terus-menerus menghalang usaha Syabas untuk menambahbaik kemudahan air bagi memenuhi permintaan yang meningkat dengan mendadak.

Peruntukan bagi kerja menaik taraf, misalnya dalam semua perbelanjaan melibatkan operasi berkaitan air di seluruh negara, akan dipantau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara atau SPAN.

Jika kerajaan persekutuan tidak campurtangan, akan berlaku kekurangan dana untuk membolehkan kemudahan tertentu diselenggara dan dinaik taraf, selain bagi mengelak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada mengalami kekurangan bekalan air.

Masalah bekalan air terputus bulan lepas yang dihadapi kira-kira 500,000 penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang mungkin berulang dan kerajaan tidak mahu melihat perkara ini terjadi lagi, katanya.

Beliau mengulangi bahawa punca gangguan bekalan air baru-baru ini pada dasarnya adalah tindakan berterusan kerajaan Selangor mengganggu perbelanjaan modal (capex) yang diperlukan oleh Syabas berdasarkan peruntukan dalam perjanjian itu.

"Memang amat jelas, apa jua yang diperlukan untuk menaik taraf kemudahan berkaitan capex, kerajaan Selangor menghalang perbelanjaan ke arah itu oleh Syabas," katanya.

Chin berkata jika kerajaan Selangor mengambil sikap bekerjasama dan munasabah terhadap kerajaan persekutuan untuk memastikan jaminan air, kawasan paling padat penduduk dan paling maju di Malaysia tidak akan menanggung akibat berikutan masalah kekurangan bekalan air seperti yang berlaku baru-baru ini.

"Ini sesuatu yang janggal. Kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan mesti bekerjasama dalam perkhidmatan yang mustahak ini. Air merupakan aspek yang sangat penting dalam pembangunan mana-mana negara.

"Sejak hari pertama bertugas sebagai menteri, saya menjadikan isu jaminan air sebagai satu keutamaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain