suria

PM Beri Isyarat PRU-13 Semakin Hampir, Minta Wanita Giatkan Usaha

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru jentera sayap wanita Barisan Nasional (BN) supaya melipatgandakan usaha sebagai isyarat pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Najib yang juga pengerusi BN turtu percaya kaum wanita menjadi jentera parti itu yang sangat penting yang akan turun padang bagi melakukan kerja-kerja 'membirukan' landskap politik tanah air.

"Wanita akan menjadi jentera yang akan mempengaruhi rakyat, yang meyakinkan rakyat bahawa kita (BN) telah tepati janji.

"Beritahu kepada mereka (rakyat) bahawa kita bukan sahaja tepati janji tetapi beri harapan baru sebab kita ada perancangan cukup baik dan agenda yang begitu tersusun," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Gelombang Biru Jentera Pilihan Raya Wanita BN di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barisan pimpinan tertinggi parti dan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Najib sayap parti itu tidak perlu menunggu isyarat daripada beliau untuk menggerakkan jentera mereka kerana pilihan raya umum sudah terlalu hampir.

Beliau berkata, wanita boleh menganggap pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) seperti mereka menunggu saatnya 'pecah ketuban' sebelum melahirkan bayi.

"Dah tak payah tunggu semboyan. Dah tak lama lagi dah tu (pilihan raya). Nak pecah dah (air ketuban)," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Shahrizat yang terdahulu menggambarkan persediaan jentera wanita BN bagi menghadapi PRU-13 boleh diibaratkan seperti persediaan seorang ibu yang hanya menunggu masa melahirkan bayi.

Najib berkata wanita yang turun padang perlu memberitahu rakyat bahawa kerajaan BN telah melakukan perubahan untuk negara melalui proses transformasi.

"Kita sudah lakukan transformasi. Bukan reformasi. Transformasi lebih baik daripada reformasi atau demonstrasi. Transformasi membawa kepada kemakmuran masa depan kita," katanya.

Dalam pada itu Najib turut menyatakan penghargaan dan meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan wanita dalam memberikan kemenangan kepada BN.

"Saya amat hargai sumbangan wanita dan akan balas jasa baik wanita dalam menentukan kemenangan BN nanti.

"Apa wanita minta banyak kita beri. Dah bagi pun... kita boleh bagi lagi. Kadang-kadang tak minta pun kita bagi," katanya.

Pada majlis yang sama Najib turut merasmikan kereta Jentera Jalinan Rakyat Wanita BN yang akan digunakan untuk berkempen di seluruh negara.

Artikel Lain