Perda Kenal Pasti Tanah Di Ara Kuda Untuk PR1MA - Semasa | mStar

Perda Kenal Pasti Tanah Di Ara Kuda Untuk PR1MA

NIBONG TEBAL: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mengenal pasti sebidang tanah seluas 100 hektar di Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini bagi membolehkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibina di situ.

Pengerusi Perda Datuk Azhar Ibrahim berkata pihaknya sedang berunding dengan PR1MA bagi membolehkan projek perumahan rakyat itu dibina dalam tempoh terdekat demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

"Berapa unit dan bila akan mula dibina masih dalam perbincangan kerana ia bergantung kepada pihak PR1MA untuk memutuskannya. Perda terlibat dalam urusan jual beli tanah sahaja," katanya selepas melancarkan fasa kedua Taman Panchor Utama, di sini Jumaat.

Turut hadir Pengurus Besar Perda Saringat Hassan.

Sementara itu, Azhar berkata 140 unit rumah pelbagai jenis akan dibina menerusi projek bernilai RM17 juta itu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

Katanya semua rumah yang dibina Perda termasuk lebih 11,000 unit sejak beberapa tahun lepas lebih murah berbanding harga pasaran.

"Setiap unit rumah berharga antara RM170,000 dan RM200,000 dan ia jauh lebih murah daripada harga pasaran dan harga yang ditawarkan kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah membentangkan belanjawan bagi membina 18,000 unit rumah mampu milik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas.

"Saya pelik macam mana beliau mahu bina 18,000 unit rumah mampu milik dengan kos RM500 juta sedangkan perkara itu tidak pernah dibentangkan pada Persidangan DUN, sepatutnya ia perlu mendapat kelulusan dewan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

"Selama lima tahun memerintah Pulau Pinang tiada sebuah rumah pun kerajaan negeri bina, bila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) datang negeri ini dan umum nak bina 20,000 PR1MA barulah dia (Lim) pun kalut," katanya.

Azhar berkata tindakan Lim mengumumkan pembinaan rumah mampu milik itu adalah gimik politik sahaja kerana pilihan raya umum sudah makin hampir.

"Janji nak mansuhkan tol 50 sen di Tol Sungai Nyior pun tak boleh buat lagi sampai sekarang, inikan pula nak bina rumah untuk rakyat di negeri ini, itu semua hanya gimik politik dan janji kosong mereka sahaja," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Pengutip Hutang Mati Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain