suria

Media Perlu Jadi Golongan Pemikir & Pengkritik Yang Pentingkan Keharmonian - Rais

MANADO (Indonesia): Pengamal media terutamanya wartawan perlu menjadi golongan pemikir atau pengkritik yang sentiasa mementingkan keharmonian hubungan antara negara dalam setiap penulisan yang dihasilkan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia, wartawan menjadi antara komponen terpenting dari segi penerapan pemikiran sama ada memilih untuk melaporkan perkara yang benar atau sebaliknya.

Dalam ucaptama pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) dan Hari Ulang Tahun Persatuan Wartawan Indonesia ke-67 di sini malam ini, Rais berkata walaupun media dan wartawan bebas menulis, melapor dan mengkritik apa sahaja, namun mereka juga harus berpegang kepada semangat negara serumpun yang sekian lama menjalin hubungan harmoni dan saling menghormati.

"Kita berasas kepada yang sama, rumpun yang sama tetapi persamaan itu jika kita sebagai penulis tidak berupaya menterjemahkannya kepada khalayak, setiap kebersamaan itu tidak menjamin apa-apa. "Untuk itu kita semua harus berfikir apa akan terjadi kepada rumpun Melayu jika kita sebagai penulis tidak melaksanakan peranan itu dari sudut menyemarakkan erti kemanusiaan dan hubungan serumpun," katanya.

Hadir sama isteri beliau Datin Seri Masnah Rais, Gabenor Sulawesi Utara SH Sarundajang dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Menjadi menteri pertama daripada luar Indonesia yang yang diberikan peluang berucap pada majlis yang menghimpunkan lebih 1,000 wartawan itu, Rais turut menarik perhatian bahawa kedatangannya ke Manado adalah beserta impian untuk mencapai hasrat persaudaraan seterusnya mencantum dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

Mengakui peranan media media dan tugasan wartawan adalah sebagai penulis, penyampai dan pengkritik, beliau berkata ia mampu memberikan kesan yang cukup bermakna dalam sesuatu pemberitaan jika elemen itu dapat dicantumkan dengan sempurna.

Beliau berkata sebagai penulis, terutamanya di Indonesia yang ternyata bebas melaporkan setiap perkara, pemberitaan itu tetap perlu diisi perimbangan dari aspek kepentingan kemanusiaan selain mengambil kira faktor perundangan.

Oleh itu, katanya, perkara baik yang terjadi seperti kemampuan rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia menghantar kira-kira RM6 bilion setahun ke Indonesia dan lebih 90 peratus peniaga di Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur adalah dari Indonesia juga perlu diberi liputan sewajarnya.

"Justeru, sebagai penulis kita perlu sentiasa tanam rasa tanggungjawab dalam setiap penulisan bagi mengelak apa yang dihasilkan boleh menyebabkan orang lain menjadi marah," katanya.

Selain itu, Rais juga menyarankan supaya program televisyen membabitkan TVRI dan RTM yang terbukti memberi kesan baik dalam hubungan kedua-dua negara dihidupkan semula dengan diberikan pengisian baharu di samping program secara langsung radio gabungan penyampai Malaysia-Indonesia juga harus diaktifkan kembali.

Sementara itu, Rais ketika ditemui media selepas tamat acara berkata beliau berbesar hati diberi penghormatan bagi menyampaikan ucaptama seterusnya dapat menyampaikan hasrat perhubungan yang lebih jelas kepada seluruh pengamal media yang hadir.

"Ia terhasil menerusi peranan yang dimainkan oleh Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia dan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia dan inisiatif murni ini harus diteruskan bagi memartabatkan perjuangan serumpun," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain