suria

Lelaki Didakwa Di Wad Hospital Atas Tuduhan Pecah Masuk Kuil

SUNGAI SIPUT: Pendakwaan terhadap seorang lelaki yang yang menghadapi tuduhan pecah masuk sebuah kuil serta melarikan barangan berharga pada Jumaat terpaksa dilakukan di wad Kenanga, Hospital Sungai Siput di sini.

Ini kerana tertuduh yang berperwatakan wanita dan menggunakan panggilan 'Jothi' atau nama sebenarnya S.Sothivanan, 24, dimasukkan ke wad berkenaan kerana masalah jantung.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kuil Persatuan Penganut Devi Sri Maha Mariamman Devasthanam di No.32, Jalan Kuala Kangsar di sini dan mencuri tiga keping emas, satu Thali dan wang tunai RM250 membabitkan nilai RM10,000.

Sothivanan dari Gemas, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 9.30 malam, 6 Oktober 2012 hingga 4.30 pagi keesokan harinya.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid di wad berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ahmad Shamil membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 4 Mac ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam B. Balakrisnan. BERNAMA

Artikel Lain