suria

Graduan Tempatan Perlu Diberi Lebih Banyak Peluang Bekerja Dengan Syarikat Multinasional - Khaled

PUTRAJAYA: Graduan daripada universiti tempatan perlu lebih kompetetif kerana Malaysia telah menjadi sebuah negara liberalisasi, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Kami perasan syarikat multinasional lebih cenderung mengambil graduan daripada universiti di luar negara.

"Tidak ada salahnya dalam isu ini, namun kami mahu lebih banyak peluang diberikan kepada graduan tempatan untuk bekerja di syarikat multinasional.

"Justeru, kita perlu menambah lebih banyak program latihan amali, bagi memastikan mereka mendapat kemahiran dalam bidang yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen 207 graduan Graduate Career Accelerated Programme (GCAP) di sini pada Jumaat.

Khaled berkata, berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan, sekitar 72 peratus telah diambil bekerja selepas mereka tamat pengajian.

Turut hadir Pengarah Urusan My-Partners Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Johan Mahmood Merican.

Mengulas lanjut, Khaled berkata kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan pekerjaan melalui penganjuran pelbagai program untuk melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran.

Ini termasuk program GCAP yang diadakan dengan kerjasama My-Partners dan TalentCorp yang terbuka kepada graduan tempatan yang belum bekerja selepas tamat pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 2.3 dan ke atas dalam mana-mana bidang pengajian.

Melalui penyertaan selama enam minggu dalam GCAP, graduan didedahkan kepada latihan interaktif berasaskan keperluan industri selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan menulis.

Beliau menjelaskan, GCAP yang dilaksanakan kerajaan sejak 2008, merupakan projek perintis kebolehpasaran graduan dan melatih sehingga 3,000 graduan dengan 90 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan selepas itu.

Katanya, ekoran kejayaan program itu, kerajaan setuju memperluaskan lagi program tersebut dengan kerjasama My-Partners dan TalentCorp yang berupaya melatih lebih ramai graduan.

Artikel Lain