suria

Cuti Perayaan Tahun Baru Cina Pelatih PLKN Ditambah Dua Hari

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju menambah bilangan cuti perayaan sempena Tahun Baru Cina sebanyak dua hari bagi pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 Siri 10/2013 iaitu sehingga hari Khamis, 14 Februari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu diambil bagi memberi peluang kepada pelatih kaum Cina bersama-sama keluarga menyambut perayaan itu.

"Sebelum ini, JLKN dengan persetujuan Majlis Latihan Khidmat Negara telah menetapkan cuti perayaan mulai Jumaat (8 Februari) sehingga Selasa depan (12 Februari)".

Beliau berkata latihan akan bermula seperti biasa pada 15 Februari, dan semua pelatih dikehendaki melapor diri di kem masing-masing sebelum 5 petang pada 14 Februari. BERNAMA

Artikel Lain