suria

Bekas Tahanan ISA Yazid Dituduh Sebarkan Ideologi Keganasan

Yazid Sufaat
Yazid Sufaat
Yazid Sufaat

AMPANG: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

Yazid dituduh melakukan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu tujuan ideologi dan perbuatan tersebut diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Yazid dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 dan 10.30 pagi, antara 1 Ogos dan 20 Oktober 2012, di alamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, di sini.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria dan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana di bawah akta itu, tiada sebarang jaminan boleh dibuat.

Sementara itu rakan Yazid iaitu Halimah Hussein turut didakwa atas kesalahan bersubahat dengan Yazid untuk melakukan perbuatan yang sama.

Mereka didakwa mengikut seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama. Mereka boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amir Hamzah Arshad, Fadiah Nadwa Fikri dan Afiq M. Noor.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini.

Terdahulu Yazid dan Halimah ditahan bersama seorang lagi iaitu Hilmi Hasim pada Khamis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sementara itu, di luar mahkamah, Fadiah memberitahu bahawa nasib Hilmi Hasim masih belum diketahui namun dipercayai masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Artikel Lain