suria

Tiga Pelajar Mongolia Didakwa Edar Heroin Di Subang Jaya

PETALING JAYA: Tiga pelajar warga Mongolia pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar heroin di Subang Jaya, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca dalam Bahasa Inggeris di depan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan untuk semua kes.

Dalam kes pertama, seorang pelajar wanita, Bayanjargal Khaliun, 31, berdepan dua pertuduhan mengedar 78.76 kilogram heroin di sebuah kondominium di Jalan SS12/1 Subang Jaya, pada 10.34 pagi, 26 Januari lepas.

Dalam kes kedua, seorang lagi pelajar wanita Zolzaya Natsagroj, 24, dan rakan lelakinya, Barsbaatar Ganbold, 21, didakwa mengedar 1.022 heroin di sebuah tempat bernombor 71, Jalan SS 15/20, Subang Jaya, pada 11.18 pagi, 26 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah, Bayanjargal diwakili peguam Tania Scivetti manakala Zolzaya dan Barsbaatar oleh peguam Benjamin Alexander Gomes. BERNAMA

Artikel Lain