suria

Rakyat Semakin Yakin Dengan Usaha Kerajaan BN - Muhyiddin

PADANG BESAR: Rakyat kini semakin yakin dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini berbanding selepas pilihan raya umum (PRU) 2008, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata hasil tinjauan di seluruh negara menunjukkan keadaan terkini menyaksikan rakyat mempunyai satu perasaan lebih yakin dan mempercayai kerajaan pimpinan BN dengan agak nyata.

Katanya dalam tempoh dua tahun lepas, kerajaan telah mengambil kira apa yang disuarakan oleh rakyat dan memahami aspirasi mereka.

"Kita telah dapat isyarat pada pilihan raya lalu bahawa kita perlu buat sesuatu lebih besar, lebih berkesan untuk menangani beberapa perkara pokok yang menjadi perhatian rakyat.

"Sebab itu kita memperkenalkan program tranformasi, transformasi ekonomi dan kerajaan. Bajet yang kita buat menjurus untuk membantu setiap kelompok masyarakat.

"Atas dasar itu kita lihat satu impak yang boleh dikatakan besar atas inisiatif yang kita ambil untuk membela rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Dewan Seri Melati, Beseri dekat sini, Khamis.

Muhyiddin berkata tiga, empat tahun lepas, rakyat masih belum jelas dan apabila ada program mereka hanya memerhati daripada jauh tetapi kini mereka lebih yakin dan turut sama dalam program yang diadakan. "Perdana Menteri lakukan beberapa usaha yang jelas berkesan dan berimpak besar.

"Sejak tahun lepas kita turun ke bawah melalui program BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), rebat telefon, bekas perajurit, pesara, peniaga, pemandu teksi, boleh dikatakan cut across (meliputi) semua kelompok masyarakat," katanya.

Katanya rakyat telah dapat melihat bahawa kerajaan BN memang memberi perhatian kepada isu dan masalah yang mereka hadapi. "Mereka rasa sendiri impak untuk ringankan beban mereka dan usaha menambah pendapatan. Para peniaga pula mahu kerajaan yang stabil, tidak ada malapeta, tiada pergaduhan. Ini enviroment (persekitaran) perniagaan yang kondusif," katanya.

Katanya keadaan baik yang ada ketika ini menyebabkan lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini manakala pelabur sedia ada menambah lagi pelaburan mereka.

"Pelabur luar datang melabur dalam semua sektor...minyak dan gas, hotel, pendidikan dan sebagainya. Itu sense of confidence (rasa yakin). Atas dasar itu bila tinjau balik di bawah, respons itu jelas," katanya.

Muhyiddin berkata peningkatan sokongan kepada BN itu begitu dirasai sejak tahun lepas dan meningkat jauh lebih baik daripada dua, tiga tahun lepas. "Kini mereka lihat pembangkang gaduh sesama sendiri, sampai sekarang tak selesai isu mereka. Buat janji tak tunai, di Kedah boleh cerita apa dibuat? Di Selangor ada isu," katanya.

Beliau berkata pembangkang yang kini semakin rapuh dan goyah, tidak mampu untuk meningkatkan keyakinan rakyat kepada pembangkang.

"Untuk perbandingan, rakyat boleh melihat antara kedua-duanya (BN dan pembangkang), siapa yang lebih baik," katanya. BERNAMA

Artikel Lain