suria

Polis Tawau Tahan Empat Individu, Rampas 31 Mesin Judi

TAWAU: Polis Tawau menahan lima orang termasuk dua wanita serta merampas 31 mesin judi bernilai RM37,200 menerusi dua serbuan membanteras perjudian tidak berlesen di sini malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata dalam serbuan pertama pukul 9 malam di sebuah premis di Hilltop, polis menahan empat orang termasuk seorang wanita, berusia antara 20 dan 35 tahun serta merampas 20 unit mesin judi.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM133 serta 170 keping token, katanya selepas menerima kunjungan hormat jawatankuasa Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta), di sini, Khamis.

Katanya dalam serbuan kedua di sebuah premis di Takada, Batu 1, Jalan Apas, pada pukul 10 malam, polis merampas 11 unit mesin judi serta wang tunai RM90 dan menahan seorang gadis berusia 17 tahun dipercayai penjaga premis.

Terdahulu pada majlis itu, Pengerusi Pewarta Shamry Mohd Sani menyerahkan surat pelantikan Awang Besar sebagai penasihat persatuan tersebut.

Mengulas kunjungan Pewarta, Awang Besar berharap kerjasama erat antara pihak polis dan pengamal media Tawau dapat terus diperkukuh demi kebaikan semua pihak. -BERNAMA

Artikel Lain