suria

Polis Tahan Empat Lelaki Dipercayai Anggota Kongsi Gelap

JOHOR BAHARU: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap yang meminta wang perlindungan daripada peniaga di Senai dalam satu serbuan di sebuah rumah di Lorong Satu Senai pada Rabu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata hasil serbuan 2.45 pagi itu, polis merampas 22 senjata tajam berupa pisau berhulu plastik, pisau bersarung lambang naga, bayonet dan parang panjang serta sebatang besi daripada keempat-empat lelaki berumur antara 22 hingga 44 tahun itu.

Serbuan dilakukan susulan maklumat awam mengenai tiga lelaki bertopeng telah menyerbu sebuah gerai di Jalan Belimbing, Senai pada 6 pagi Selasa lalu dan memecahkan kotak dan balang kaca di dalam gerai tersebut.

"Siasatan awal, kita mendapati kejadian tersebut dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap itu kerana pengusaha gerai tidak membayar wang perlindungan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Siasatan polis mendapati dua daripada suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk merusuh dan memiliki barang curi serta pernah dibuang daerah.

Mohd Mokhtar berkata polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba meminta wang perlindungan daripada orang awam.

"Mereka fikir mereka siapa? Jangan cuba nak jadi mafia di negeri ini," katanya.

Mohd Mokhtar menasihati mana-mana pihak yang dipaksa untuk memberi wang perlindungan supaya melaporkannya kepada polis dan beliau berjanji maklumat mereka akan dirahsiakan.

Dengan penahanan itu, polis dapat menyelesaikan 15 kes ugutan jenayah, pergaduhan dan kes khianat di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kulaijaya.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Sabtu ini. BERNAMA

Artikel Lain