suria

Polis Johor Bongkar Ecstacy Tiruan Untuk Edaran Di Pusat Hiburan

JOHOR BARU: Polis Johor membongkar pengedaran ecstacy tiruan membabitkan pengunjung pusat hiburan di bandar raya ini sejak tiga bulan lalu, susulan penangkapan seorang lelaki di Taman Setia Indah, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditangkap melalui satu pemeriksaan pada pukul 2.10 pagi Ahad lepas dan polis menemui dadah jenis ketamin padanya.

Siasatan lanjutan terhadap suspek membawa polis ke sebuah rumah di situ dan polis menemui dadah iaitu 83 biji pil ecstacy, 1.72 kg serbuk ecstacy dan 25.3 gram ketamin yang dianggar bernilai RM434,650.

"Dadah itu dipercayai ecstacy tiruan kerana hanya mengandungi campuran ketamin dan syabu sedangkan ecstacy asli mengandungi methylenedioxy-N-methylamphetamine (MDMA)," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Menurut Mohd Mokhtar, pil ecstacy terbabit juga tidak menggunakan pewarna makanan sebaliknya pewarna poster yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Dalam serbuan itu polis juga menemui mesin pencetak dan acuan dadah yang diperbuat daripada bicu hidraulik yang telah diubah suai bagi menghasilkan pil estacy itu, selain merampas sebuah Sport Utility Vehicle bernilai RM100,000 dan wang tunai RM750.

Suspek yang didapati positif dadah tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan kerana menyalahgunakan dadah dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya akan membuat lebih banyak tangkapan berhubung pengedaran dadah tiruan itu dalam masa terdekat. BERNAMA

Artikel Lain