suria

Pengaruh El Nino, La Nina Terkawal Bermula Februari-September

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melaporkan pengaruh El Nino dan La Nina dari Februari hingga September tahun ini adalah terkawal.

Keadaan itu menyebabkan cuaca akan kembali normal dengan taburan hujan pada paras purata di seluruh negara kecuali di Bahagian Sri Aman dan Kapit di Sarawak yang sedikit kering pada April hingga Jun.

Laporan JMM itu dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan pada Khamis yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang mengambil inisiatif membuat persiapan awal mencegah kejadian jerebu semasa musim panas dan kering.

Selain JMM, antara agensi lain yang menganggotai jawatankuasa tersebut Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini seperti lazimnya pengaruh Monsun Barat Daya akan berlaku dan menyebabkan cuaca panas dan kering bermula dari Mei hingga September tahun ini.

Kenyataan itu menyebut keadaan cuaca panas dan kering berkemungkinan boleh menyebabkan kemerosotan kualiti udara akibat aktiviti pembakaran terbuka yang berleluasa dan kebakaran hutan serta boleh menyebabkan jerebu.

Sehubungan itu, adalah amat penting usaha pencegahan jerebu dipertingkat iaitu mencegah aktiviti pembakaran terbuka di kawasan mudah terbakar terutamanya kebakaran di tanah dan hutan gambut yang sukar dikawal.

Bagi mengatasi isu jerebu merentas sempadan, kerjasama dengan negara Asean terutama negara selatan Asean yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand akan terus ditingkatkan bagi memastikan usaha pencegahan dan pemantauan kebakaran hutan dan tanah dapat dilakukan.

Sebagai langkah menghadapi musim panas dan kering ini, orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-8888 0036 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727. BERNAMA

Artikel Lain