suria

Nilai Kerja Pemimpin Bukan Dakyah - Nong Chik

KUALA LUMPUR: Rakyat, terutama pengundi, harus menilai kerja yang dilakukan seseorang pemimpin dan bukan mendengar dakyah pihak tertentu dalam menentukan kewibawaan pemimpin berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata dakyah bukan pengukur kemampuan pemimpin terbabit, apatah lagi jika pemimpin itu tidak terlibat dalam isu yang diperkatakan.

"...yang penting kita usaha, pengundi jangan terpengaruh oleh kerana skandal sana sini (yang ditimbulkan), you tengok (hasil) kerja (saya)," katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra dan penyerahan 900 kotak limau mandarin sempena Tahun Baru Cina kepada peniaga dan pengunjung di tapak pasar pagi Lucky Garden, Bangsar, di sini ,Khamis.

Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai berkata demikian ketika ditanya sama ada skandal Pusat Fidlot Nasional yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan menjejaskan peluangnya merampas kerusi Parlimen Lembah Pantai daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau sebelum ini dilapor mengesahkan bakal bertanding di kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang. Kerusi itu pernah disandang Shahrizat sebelum tewas kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum 2008.

Mengulas lanjut, beliau berkata Shahrizat banyak menabur jasa kepada penduduk di Lembah Pantai sepanjang tiga penggal menjadi anggota parlimen kawasan itu.

"Jika diberi mandat kepada kita (Barisan Nasional), kita akan teruskan agenda transformasi kerajaan BN.

"Saya serah kepada warga Lembah Pantai, dia orang (pengundi) yang akan menentukan, kalau mereka nak orang yang memberi perkhidmatan, saya sedia berkhidmat dan saya sudah buktikan bukan saja di kawasan Bangsar tetapi juga di Pantai Dalam dan lain-lain kawasan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain