suria

Lebih 500 Ahli Fotografi, Juruvideo Bakal Dapat Manfaat Skim Gred Dinaik Taraf

KUALA LUMPUR: Lebih 500 ahli fotografi dan juruvideo di bawah Skim Saraan Malaysia bakal menikmati manfaat selepas tuntutan menaiktaraf skim gred jawatan mereka diluluskan kelak.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata satu kertas kerja akan dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa pada pertemuan 13 Feb ini untuk tindakan secepat mungkin.

Menurut Omar, tuntutan itu melibatkan ahli fotografi dan juruvideo yang berkhidmat dalam badan berkanun persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

"Sudah sampai masanya skim gred jawatan ahli fotografi dan videografi dinaik taraf, dinaikkan ke satu gred yang baik berdasarkan beban tugas dan cabaran, risiko dan peranan jurufoto dan juruvideo hari ini. "Rintihan mereka ini sudah hampir lima tahun dan sudah ada pihak-pihak yang menyarankan supaya perkara berkaitan diberi tindakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada kira-kira 200 ahli fotografi dan juruvideo di Wisma Bernama pada Khamis.

Omar berkata langkah ini bukan bertujuan untuk mendesak kerajaan tetapi tindakan segera adalah penting memandangkan kumpulan ini banyak menyumbang kepada peningkatan imej negara serta agensi-agensi berkaitan. "Banyak skim-skim setaraf telah mendahului skim ini tetapi skim jurufoto masih di tahap lama," katanya.

Dengan adanyanya penambahbaikan itu, ahli fotografi dan juruvideo juga boleh menjadi pakar rujuk memandangkan kelayakan akademik, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki mereka boleh diperluaskan, katanya.

Beliau berkata gred B11 yang disandang sekarang, sepatutnya boleh dijumud dan dinaikkan ke gred B17, seterusnya ditingkatkan sampai gred bersepadu B42 kerana berkemahiran.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar ahli fotografi dan juruvideo menubuhkan kesatuan untuk memastikan kebajikan dan nasib mereka diperjuangkan dan terbela.

Omar turut menyarankan satu insentif khas dan insurans kepada ahli fotografi dan juruvideo memandangkan mereka perlu membawa serta menjaga aset yang mahal ketika bertugas.

"Kita tidak mahu nanti esok apabila berlaku perkara tidak diingini baru hendak wujudkan skim dan insentif. Itu sudah terlambat," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain