suria

Kualiti Pendidikan Terus Jadi Agenda Pembangunan Wilayah Persekutuan - Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi keutamaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan dalam merangka agenda pembangunan Wilayah Persekutuan agar berupaya memacu Malaysia menjadi negara maju.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidi berkata pelbagai produk pendidikan dirancang secara berterusan bagi memastikan rakyat memperoleh pendidikan berkualiti.

Beliau berkata, misalnya di Kuala Lumpur sahaja, tiga Perpustakaan 1Malaysia akan dibina di Lembah Pantai, Titiwangsa dan Wangsa Maju pada tahun ini melalui pembiayaan syarikat swasta.

"Tujuan Perpustakaan 1Malaysia adalah untuk memastikan setiap rakyat berpeluang mendapatkan maklumat dan pengetahuan, serta diberikan akses dengan semudah-mudahnya.

"Bagaimanapun untuk kawasan lain mungkin akan dapat dibangunkan pada tahun berikutnya sekiranya mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak swasta," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 Parlimen Batu di sini, Khamis.

Pada majlis itu, 462 murid dari 62 buah sekolah menerima RM100 bagi mereka yang cemerlang dalam UPSR manakala RM150 bagi yang cemerlang dalam PMR.

Raja Nong Chik berkata kerajaan turut memperkenalkan 'Laman Ilmu' iaitu tempat bagi memudahkan murid sekolah yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam untuk mengulangkaji pelajaran atau mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan.

"Konsep ini akan dilaksanakan tidak lama lagi, di mana setiap blok akan mempunyai sebuah Laman Ilmu, atau kita panggil 'prep-room' untuk kegunaan mereka dan ia akan diuruskan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan.

"Saya amat faham dengan keadaan yang kadang-kala tidak selesa di unit-unit PPR untuk anak-anak kita belajar dengan sempurna, terutama yang bakal menghadapi peperiksaan penting," katanya.

Beliau berkata dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan, ditambah dengan Bantuan Persekolahan RM100 bagi setiap murid sekolah, ia pasti akan dapat menaikkan semangat setiap murid untuk lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

"Kita lihat ada peningkatan dari keputusan saban tahun dan ini mungkin kerana bantuan-bantuan dan kemudahan yang telah kita sediakan terutamanya kepada keluarga berpendapatan rendah.

"Kita beri secara berterusan, sama ada sebelum dan selepas pilihan raya.. banyak lagi program akan dapat dijalankan sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan kembali kawasan-kawasan di bawah pembangkang," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. BERNAMA

Artikel Lain