suria

Kedah Digesa Ambil Tindakan Adun PKR Isu Tarian Separuh Bogel

ALOR SETAR: Umno Kedah menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim Lim Soo Nee berhubung isu tiga penghibur wanita berpakaian separuh bogel di tempat terbuka pada majlis anjurannya di Taman Sago, Kulim, Sabtu lepas.

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata perbuatan Lim bertentangan dengan etika berpakaian yang diluluskan kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

"Mereka yang meluluskan etika berpakaian bagi penganjuran majlis Tahun Baru Cina dan sewajarnya mengambil tindakan terhdap anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau ditemui selepas menyampaikan cek sumbangan kerajaan pusat berjumlah RM740,000 kepada 12 Sekolah Agama Rakyat dan tujuh Pondok Tahfiz seluruh Kedah.

Tiga penghibur wanita tersebut yang berpakaian ala bikini membuat persembahan selama tiga jam pada majlis yang diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina itu.

Kerajaan Kedah sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan garis panduan berpakaian bagi penghibur wanita yang mahu mengadakan persembahan semepena Tahun Baru Cina di negeri itu.

Mengulas isu lain, Ahmad Bashah menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pemimpin berfikiran matang kerana menyertai program kerajaan pusat 'My Beautiful Malaysia' pada Ahad lepas.

"Program ini untuk mempromosi pelancongan negara, tiada langsung agenda politik. Kedah antara negeri yang dipilih. Sebagai ketua kerajaan negeri Azizan wajar hadir dan berucap pada majlis pelancaran peringkat negeri," katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan penyokong PAS Kuala Kedah yang membidas Azizan sebagai 'barua' kerana banyak menghadiri program anjuran kerajaan Barisan Nasional selain mahu memastikan menteri besar itu tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Lim berkata beliau sedia disiasat oleh pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menerima sebarang tindakan jika didapati bersalah.

Beliau yang mempertahankan penganjuran program seperti itu tidak salah berkata konsert itu adalah konsert biasa dan pakaian penyanyi dan penari wanita memang seperti itu.

"Program ini untuk orang Cina. Kita tak jemput pemimpin-pemimpin Islam, kita tak jemput kaum lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada jamuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2013 di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini.

Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia Negeri berkata tujuan beliau mengadakan konsert itu adalah untuk membuktikan kepada MCA bahawa garis panduan berpakaian di Kedah hanya untuk orang Islam dan tidak untuk orang bukan Islam. BERNAMA

Artikel Lain