suria

Hentikan Polemik Kalimah Allah - Mufti Kelantan

KUALA LUMPUR: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa masyarakat tidak kira apa jua fahaman politik supaya segera menghentikan perbuatan mempolemikkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bagi menjaga kesucian agama Islam.

Katanya isu itu tidak wajar dimainkan mana-mana pihak secara berterusan memandangkan Islam sudah menetapkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan orang bukan Islam.

"Misalnya di Kelantan sendiri perkara ini sudah jelas termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 di bawah Seksyen 9 yang mana sudah termuat perkataan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Saya percaya di negeri-negeri lain pun ada enakmen ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

"Kalau kalimah Allah dibenarkan guna dalam Bible versi bahasa Melayu, konteks pemahaman orang Kristian 'Allah' ada anak, sedangkan dalam Islam, Allah itu 'Tunggal'.. 'Esa'. Jadi 'keesaan' Allah tidak ada dalam konteks kefahaman mereka (orang Kristian). Sanggupkah kita sebagai orang Islam memfitnah tuhan kita sendiri, sedangkan tuhan kita 'tunggal'," katanya.

Mohamad Shukri berkata Islam melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam berdasarkan kaedah 'saatuzariah' iaitu pencegahan daripada terus berlaku benda yang diharamkan Islam.

Beliau berkata semua pihak perlu mengenepikan agenda politik masing-masing dan tidak mempersenda agama Islam yang mana politik sepatutnya dijadikan alat untuk memperjuang agama Islam.

Katanya penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dicegah secara efektif kerana bakal memberi kesan negatif terhadap pemahaman golongan muda berhubung agama Islam iaitu bahawa Islam sama dengan agama lain sehingga menularnya budaya fahaman pluralisme agama.

"Saya bimbang sekiranya tidak dicegah lebih awal, orang-orang muda yang kurang tahu soal hukum hakam agama Islam, akan berfahaman semua agama sama sahaja nanti," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Shukri memohon kerajaan terutamanya majlis agama Islam bertindak tegas bagi menangani perkara itu dengan cara penguatkuasaan enakmen sedia ada yang berkaitan agama Islam.

Sementara itu, Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali pula berkata Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) sepatutnya tidak terjebak dalam permainan dan percaturan politik yang tidak sihat dalam isu kalimah Allah.

Katanya kebijaksanaan yang ada kepada pimpinan majlis itu sepatutnya digunakan dengan sebaik mungkin bagi menentukan kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan yang sedang dinikmati di negara ini akan terus kekal untuk generasi akan datang.

Beliau mengulas pandangan pemimpin-pemimpin majlis itu dalam beberapa portal berita semalam yang antaranya mempertikai bahawa larangan menggunakan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam dianggap bertentangan dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hasan berkata pemimpin majlis itu perlu memahami bahawa Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk badan-badan Islam yang ada tidak pernah cuba mengawal orang bukan Islam atau mengganggu amalan agama mereka.

"Apa yang berlaku adalah percubaan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melanggar batas yang ada dengan meminta supaya kalimah Allah yang menjadi hak eksklusif orang Islam juga dapat diguna pakai oleh orang bukan Islam. Inilah sebenarnya amalan yang tidak sihat yang boleh mengakibatkan ketegangan antara bangsa dengan agama," katanya.

Artikel Lain