Bayaran Tender Nombor Pendaftaran Kenderaan Tahun Lepas Meningkat Ketara

PUTRAJAYA: Bayaran tender bagi nombor pendaftaran kenderaan oleh kalangan pemilik kenderaan dalam negara meningkat daripada RM180.78 juta pada tahun 2011 kepada RM203.67 juta tahun lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata peningkatan ketara yang menjangkau sehingga kira-kira RM23 juta atau 12.66 peratus itu berpunca daripada keghairahan orang ramai membida nombor pendaftaran pilihan untuk kenderaan mereka.

Beliau memberitahu sidang media di pejabatnya di sini, bahawa semakin ramai pemilik kenderaan dilihat amat berminat untuk menempah nombor pendaftaran yang khusus buat kenderaan masing-masing.

Tahun lepas beberapa media melaporkan pembidaan nombor pendaftaran siri 'WWW' mencatat rekod baru apabila 18,243 bidaan diterima sehingga tarikh tutup pada bulan Mei lepas, dan angka ini merupakan hampir empat kali ganda bidaan berbanding rekod tertinggi sebelum ini, iaitu nombor pendaftaran kenderaan siri "WVW" yang memperoleh 4,750 bidaan.

Sementara itu Kong berkata kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkat 4.93 peratus tahun lepas berbanding 2011, iaitu daripada RM3.1 bilion kepada RM3.3 bilion.

Beliau berkata penambahan kira-kira RM156 juta itu selaras dengan peningkatan 6.08 peratus jumlah kenderaan dalam negara, iaitu daripada 21.4 juta pada tahun 2011 kepada 22.7 juta tahun lepas.

Menurutnya hasil tertinggi JPJ diperolehi menerusi kutipan Lesen Kenderaan Motor yang menjangkau RM2.284 bilion, diikuti dengan bayaran Lesen Memandu RM414.4 juta.

Merujuk kepada statistik kemalangan pula, Kong berkata pada dasarnya nisbah kematian akibat kemalangan jalan raya dengan jumlah kenderaan sepanjang tahun lepas kelihatan agak baik, iaitu sekitar 3.04 kematian bagi tiap 10,000 kenderaan, berbanding 3.21 kematian setiap 10,000 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun menurutnya, jika dilihat kepada angka sebenar, jumlahnya masih tinggi, kerana pada dasarnya jumlah kenderaan dalam negara sentiasa bertambah setiap tahun. - BERNAMA

Artikel Lain