suria

Tiada Sebarang Konsultasi Oleh Shamsubahrin - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu tiada sebarang perkhidmatan atau konsultasi dilaksanakan ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail yang dituduh menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, bagi syarikat NFC.

Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh berkata sepanjang mengenali tertuduh dari penghujung 2011 hingga pertengahan 2012, beliau tidak nampak sebarang perkhidmatan dibuat tertuduh biarpun pembayaran sebanyak RM1.5juta telah diberikan kepadanya.

"Saya tidak nampak pembayaran ini ke arah tujuan-tujuan sepertimana yang Datuk Sham (Shamsubahrin) kata dia akan gunakan wang itu," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa.

Saksi ke-37 pendakwaan itu berkata beliau dimaklumkan tertuduh bahawa wang yang diberikan kepadanya adalah untuk bayaran perkhidmatan konsultasi.

"Selain itu Datuk Sham juga memaklumkan bayaran itu akan digunakan untuk membayar subkontraktor, pakar perundangan serta membeli perisian kewangan dan lain-lain di bawah urusan konsultasi," katanya.

Wan Shahinur berkata demikian pada perbicaraan Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya.

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah yang sama, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain