suria

Sabotaj K'jaan: NGO Syor Tingkat Penguatkuasaan Atau Wujud Undang-Undang Khas

KUALA LUMPUR: Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini mengesyorkan kerajaan meningkatkan penguatkuasaan atau mewujudkan undang-undang khas bagi memastikan individu atau NGO yang mensabotaj kerajaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Mereka berkata penguatkuasaan undang-undang secara tegas atau penggubalan undang-undang khas perlu memandangkan senario kini menyaksikan banyak tindakan mensabotaj kerajaan oleh pertubuhan politik atau NGO propembangkang yang bermotifkan politik dan kepentingan sendiri.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib berkata antara tindakan mensabotaj kerajaan ialah mendedahkan dokumen sulit kerajaan dan syarikat kerajaan sebelum ini seperti isu Syarikat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek LRT Ampang dan isu Lynas.

"Terbaru, tindakan Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack mengancam membakar loji nadir bumi Lynas Corp di Gebeng, Pahang sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak menutup loji itu apabila terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang merupakan satu ugutan serius yang boleh mengancam keselamatan rakyat.

"Kalau dahulu Himpunan Hijau merupakan sebuah NGO yang asas kewujudannya hanya bermula daripada aduan mengenai projek Lynas melalui laman web kini bertukar agresif dengan menggertak dan mengancam negara," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Dzulkarnain berkata tindakan itu jelas mensabotaj kerajaan, sektor kewangan dan ekonomi negara, justeru kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khas bagi menangani tindakan itu.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Maa'mor Osman memberitahu Bernama tindakan mensabotaj kerajaan telah mencemarkan imej serta maruah negara dan langkah segera perlu dilaksana bagi menangani senario itu.

"Tindakan kebanyakan individu, pemimpin politik atau pertubuhan NGO kini yang banyak cuba mensabotaj kerajaan terutama dengan mendedahkan maklumat sulit sesuatu agensi di bawah kerajaan dilihat tiada asasnya.

"Jika ada sebarang isu seharusnya disuarakan berasaskan akta sedia ada dan bukannya hanya memikirkan kepentingan sendiri sehingga melanggar undang-undang dan memberi ancaman kepada rakyat dan negara," katanya.

Menurutnya ugutan Wong Tack untuk membakar loji Lynas misalnya, merupakan satu perkara yang bahaya kerana boleh membawa impak lebih buruk selain menimbulkan kegusaran dan ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata negara mempunyai undang-undang yang kukuh bagi menghalang penyebaran maklumat tidak benar terutama berkaitan kerajaan, namun penguatkuasaan perlu ditingkatkan.

"Undang-undang sedia ada cukup. Soalnya sekarang tindakan tegas perlu diambil, tak boleh dilengah-lengahkan, untuk mengawal lebih banyak maklumat sulit terutama berkaitan kerajaan didedahkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Abdul Aziz berkata NGO atau mana-mana individu di negara ini juga perlu 'belajar' menyuarakan ketidakpuasan hati secara lebih 'sihat' dan seimbang bukan dengan cara negatif membocorkan maklumat sulit kerajaan yang nyata rahsia kepada umum. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain