suria

Rakyat Malaysia Dipelawa Mohon Biasiswa Kerajaan Jepun

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berkelayakan dan ingin melanjutkan pengajian serta menjalani latihan perguruan di Jepun dipelawa memohon biasiswa tajaan kerajaan negara itu.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, permohonan untuk biasiswa berkenaan kini dibuka sehingga 12 Mac ini.

Biasiswa tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pengajian Jepun (kursus bukan ijazah selama setahun bermula Oktober ini) dan Latihan Perguruan (kursus bukan ijazah satu setengah tahun bermula Oktober).

Sepanjang tempoh pengajian, elaun bulanan sebanyak 117,000 Yen (anggaran RM3,800) akan diberi kepada setiap penerima biasiswa Pengajian Jepun dan 143,000 Yen (anggaran RM4,700) untuk setiap penerima biasiswa Latihan Perguruan.

"Pemohon juga dikecualikan daripada membayar yuran peperiksaan kemasukan universiti, matrikulasi dan tuisyen manakala tiket kapal terbang pergi balik disediakan," jelas kenyataan itu.

Bagi biasiswa Pengajian Jepun, pemohon mesti berumur 18 hingga 29 tahun pada 1 April ini dan siswazah tahun dua atau tiga khusus dalam bidang bahasa Jepun atau kebudayaan serta mahir dalam bahasa Jepun.

Permohonan mesti sampai di Kedutaan Jepun di Malaysia sebelum pukul 4 petang, 12 Mac ini.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-21772600 (sambungan 157/146).

Pemohon biasiswa Latihan Perguruan pula mesti berumur bawah 35 tahun pada 1 April ini serta merupakan siswazah yang mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman bekerja dan mahir berbahasa Inggeris.

Permohonan harus dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Untuk maklumat lanjut boleh layari http://www.jpa.gov.my atau hubungi JPA di talian 03-88853555 (Noor Zahrina Abdul Samad). -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain