suria

Raja Muda Perlis Mahu Pasar Malam Dipertingkat Untuk Pikat Pelancong

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu tahap kebersihan dan keceriaan pasar malam di negeri itu dipertingkat bagi memikat pelancong.

Titah baginda, pengusaha pasar malam perlu melakukan persediaan dari sekarang untuk menambah baik suasana pasar malam bagi menarik pelancong, terutama peminat sukan yang bakal membanjiri Perlis ketika temasya Sukan Malaysia ke-17 tahun depan.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah menyediakan lampu hiasan, landskap, kemudahan parkir selain tahap kebersihan yang tinggi, titah baginda semasa melancarkan Bazar Tahun Baru Cina di Pasar Malam 1Malaysia, di sini malam Selasa.

Baginda juga yakin Pasar Malam 1Malaysia yang beroperasi di Dataran Mahkota di sini boleh menjadi tarikan kerana kedudukannya di dalam Zon Bersih.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap pihak berkuasa memastikan semua kemudahan yang dalam keadaan daif termasuk papan tanda diganti, terutama menjelang sambutan hari keputeraan ke-70 Raja Perlis pada 17 Mei ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain