suria

Polis Giatkan Usaha Kesan Remaja Hilang Selepas Pulang Gimnasium

KUALA LUMPUR: Polis mempergiat gerakan mencari M. Jethendran, 16, yang dilaporkan hilang sejak 25 Jan lepas selepas tidak pulang ke rumahnya dari gimnasium di Taman Desa, Jalan Klang Lama.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa berkata setakat ini pihaknya masih belum mendapat sebarang petunjuk dan meminta orang ramai yang pernah melihat remaja itu untuk tampil memberi maklumat.

"Berdasarkan keterangan saksi, pernah melihat mangsa berbual dengan seorang perempuan berhampiran gimnasium berkenaan, namun ia agak sukar dinilai sama ada betul atau tidak dan sebagainya.

"Sehingga hari ini kami belum ada petunjuk baharu, namun usaha menjejaki remaja tersebut tetap dijalankan berpandukan maklumat yang diperoleh. Siasatan setakat ini dibuat mengikut Akta Orang Hilang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Jethendran yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya selepas pergi ke gimnasium di Taman Desa, Jalan Klang Lama dikatakan kali terakhir menghubungi ibunya pada 3.45 petang pada hari kejadian dan memberitahu dia akan pulang ke rumah dengan menaiki teksi.

Polis telah mengambil keterangan daripada keluarga, saksi dan rakannya. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Brickfields di talian 03-90571086 atau pegawai penyiasat, Inspektor Rosnani Ramli di talian 017-2194171.

Dalam perkembangan lain, polis sedang memburu lima lelaki bagi membantu siasatan kes berasingan yang melibatkan kes bunuh dan rompakan berkumpulan.

Khairy berkata bagi kes bunuh yang berlaku pada 3 Feb lepas di Kondominium Putra Mas, seorang lelaki warganegara Pakistan dikenali sebagai Kahangir Ali berusia 42 tahun dan seorang rakan yang identitinya belum dikenal pasti diburu selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki warga Pakistan di kondominium terbabit.

Katanya mayat mangsa Muhammad Nadim, 45, ditemui mati di dalam bilik dalam keadaan terlentang dengan kesan kelar pada leher manakala tubuhnya mempunyai kesan tikaman bertubi-tubi.

"Mayat mangsa ditemui selepas polis menerima aduan daripada orang awam yang menghidu bau busuk di dalam rumah berkenaan sebelum menemui mayat mangsa selepas pemeriksaan polis dijalankan.

"Suspek Kahangir Ali merupakan saudara kepada mangsa dan motif kejadian dipercayai cemburu. Suspek dipercayai masih berada di dalam negara," katanya.

Sementara itu, bagi kes rompakan berkumpulan yang berlaku pada 20 Jan lepas di hadapan sebuah kedai di Taman Seri Sentosa, Brickfields pada 12.30 tengah malam, kira-kira 10 lelaki yang bersenjatakan parang menyerang mangsa berusia 25 tahun dan adiknya sehingga cedera.

"Suspek juga merosakkan kereta mangsa dan melarikan barangan berharga mangsa seperti telefon bimbit, sistem bunyi kereta, notebook dan sebuah beg sandang dengan nilai kerugian kira-kira RM10,000.

Sehubungan itu, polis kini menjejaki tiga lelaki iaitu Muhamad Kamil Jamal, 32, alamat terakhir di blok 93-02-11 flat Sri Sentosa, Batu 6 1/2 Jalan Klang Lama, J. Chitharthan Kumar, 25, alamat di No. 2 Jalan TK 4/2, Taman Kinrara, Puchong dan K. Prabaharan, 43, alamat di A-4-19 Taman Cheras Perdana Ria, Lengkok 1B Cheras Perdana, Batu 11, Cheras yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain