suria

Penyamun Nekad Terjun Laut Elak Diberkas Polis

GEORGE TOWN: Seorang lelaki nekad terjun ke laut berhampiran Persiaran Gurney di sini hari ini bagi mengelak daripada ditangkap polis selepas menyamun sebuah kedai runcit di Tanjung Tokong di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pukul 2.13 petang itu, suspek berpura-pura membeli minuman sebelum menyamun sejumlah wang dari mesin tunai kedai itu dan melarikan diri bersama seorang lagi rakannya dengan motosikal.

"Dua anggota polis trafik yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan itu segera mengejar dan berjaya mengepung suspek di kawasan Persiaran Gurney serta menahan seorang daripada mereka," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Gan berkata akibat terdesak hendak melarikan diri seorang lagi suspek terjun ke laut yang cetek dan polis terpaksa mengguna sebuah bot untuk menangkapnya.

Hasil siasatan awal kedua-dua lelaki berusia 25 dan 23 tahun itu tiada pekerjaan tetap dan seorang daripada mereka positif ujian dadah.

Katanya suspek dibawa ke Balai Polis Pulau Tikus sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau sebatan, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain