suria

Pembangkang Perjudi Masa Depan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang yang menjadikan pembangunan semula di Kampung Baru, di sini sebagai isu bagi meraih sokongan politik merupakan tindakan yang memperjudi masa depan penduduk yang mahukan pembangunan dan kehidupan lebih selesa di kawasan itu.

Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menasihati penduduk Kampung Baru supaya tidak termakan janji manis dan terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang mahu projek itu tertangguh seperti projek pembangunan semula di Kampung Kerinchi di sini.

"Ada elemen-elemen yang menyebabkan pembangunan semula rumah pangsa di Kampung Kerinchi tertangguh selama dua tahun, cuba diguna semula pembangkang untuk menyerang projek pembangunan Kampung Baru.

"Bila serangan berjaya, yang untung pembangkang kerana dapat sokongan politik, tetapi penduduk semakin susah kerana pembangunan dan kehidupan selesa yang ingin diberi kerajaan tertangguh angkara perbuatan pembangkang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina 2013 kepada 450 penduduk berbangsa Cina berpendapatan rendah dan kurang upaya di Pusat Komersil dan Komuniti Bandar Tun Razak di sini, Selasa.

Melalui Akta Pembangunan Kampung Baru 2011, sebuah perbadanan diberi nama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ditubuhkan sebagai pemudahcara yang diamanahkan oleh kerajaan, demi kepentingan pemilik serta pewaris tanah di kampung itu.

Projek pembangunan semula rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi bernilai RM600 juta diumumkan kerajaan pada 2010, tertangguh sehingga tahun lepas disebabkan isu melibatkan 35 penduduk tidak bersetuju dengan pembangunan itu, manakala kira-kira 500 penduduk pula bersetuju dengan pembangunan tersebut.

Raja Nong Chik kesal dengan tindakan pembangkang yang cuba memperlekeh penubuhan PPKB dan turut memfitnah perbadanan itu sebagai alat untuk merampas tanah penduduk di kampung itu.

"Perbadanan itu ditubuhkan sebagai pemudahcara penduduk memastikan pembangunan sesuai dan mampu membantu kehidupan mereka, di samping melancarkan pembangunan. Namun Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu menutup perbadanan itu, ini jelas tindakan politik yang menjejas masa depan penduduk," katanya.

Katanya kerajaan akan memastikan pembangunan di Kampung Baru berjalan lancar dan beliau sendiri akan turun padang bagi mengatasi isu yang timbul bagi memastikan usaha kerajaan memberikan kehidupan lebih baik kepada penduduk dapat direalisasikan.

"Minggu depan saya akan turun padang ke Kampung Baru bagi meninjau pembangunan di sana, juga melancarkan sebuah projek pembangunan di sana. Saya percaya projek satu atau dua daripada beberapa projek pembangunan itu dapat kita siapkan akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain