suria

Kerajaan Pusat Sumbang RM740,000 Kepada 12 SAR Dan Tujuh Pondok Tahfiz Di Kedah

ALOR SETAR: Duabelas buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tujuh Pondok Tahfiz di Kedah hari ini menerima sumbangan kewangan kerajaan pusat berjumlah RM740,000.

Cek sumbangan itu disampaikan oleh pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah kepada SAR dan Pondok Tahfiz terbabit di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Yan, 30Km dari sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan sumbangan itu pada perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin SAR dan Pondok Tahfiz seluruh Kedah di SMA Taufikiah Al-Halimiah pada 20 Disember tahun lepas.

Setiap SMA menerima RM50,000 manakala Pondok Tahfiz menerima RM20,000.

Ketika berucap sebelum itu, Ahmad Bashah berkata kerajaan pusat masih menimbang beberapa lagi permintaan SAR dan Pondok Tahfiz bagi memperkasa pendidikan agama di negeri ini.

Katanya kerajaan pusat bersifat terbuka dan pemimpin-pimimpin SAR maupun Pondok Tahfiz boleh menjemput untuk mengadakan perjumpaan atau perbincangan.

Pegawai Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Azmi Lateh yang turut hadir berkata, kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM450,000 bagi menyiapkan dewan pelbagai guna yang dimohon oleh SMA Taufikiah Al-Halimiah sebelum perjumpaan Muhyiddin-pemimpin SAR dan Pondok Tahfiz pada tahun lepas.

Menurut Setiausaha Lembaga Tadbir SMA Taufikiah Al-Halimiah, Mohd Najib Fahami Yahya dewan tersebut terbengkalai lebih 10 tahun kerana ketiadaan sumber kewangan untuk menyiapkannya. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain