suria

Insentif Perkahwinan Belia Boleh Dipohon Minggu Depan

SHAH ALAM: Insentif Perkahwinan Belia sebanyak RM200 yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor boleh mula dimohon mulai minggu hadapan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, borang permohonan boleh dperolehi di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor bagi mendapatkan insentif berkenaan.

Bagaimanapun hanya belia yang berkahwin bermula Januari 2013 dan berusia tidak lebih 35 tahun boleh memohon mendapatkan insentif perkahwinan tersebut.

Mengulas lanjut Dr Yunus berkata, hanya anak kelahiran Selangor layak menerima hadiah insentif itu yang berupa wang simpanan Tabung Haji bagi yang beragama Islam dan bagi bukan Islam akan diberikan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kita akan mula mengedarkan borang insentif ini dan para belia boleh mendapatkannya di seluruh Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN di negeri ini mulai minggu hadapan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Sementara itu, Dr Yunus berkata, tiada syarat seperti penilaian gaji pasangan akan diambil kira selain belia yang memohon merupakan anak jati Selangor.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pemberian insentif perkahwinan itu akan dibiayai melalui peruntukan dari Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Selain menerima insentif perkahwinan ini, belia yang terlibat juga bakal ditawarkan program perumahan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain