suria

Guan Eng Mahu Malukan PM Menerusi Gesaan Pakai Baju Warna Tema Pembangkang –Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dibidas sebagai mahu memalukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila menggesa penduduk negeri itu memakai baju pelbagai warna bertemakan pembangkang semasa menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, niat itu sangat jelas memandangkan Guan Eng sedia maklum bahawa perdana menteri dijadual menghadiri majlis yang akan diadakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Han Chiang, Pulau Pinang pada 11 Feb.

"Bila penduduk datang memakai warna yang diminta, beliau (Guan Eng) ingat dapat tunjuk kepada perdana menteri kononnya penduduk Pulau Pinang menyokong mereka (pembangkang) pada pilihan raya kali ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.

Zainal Abidin seterusnya mempersoalkan keikhlasan kerajaan DAP Pulau Pinang memberi kebenaran kepada BN untuk mengadakan majlis sambutan itu kerana ia dicemari dengan permintaan supaya penduduk mengenakan warna pakaian tertentu.

"Apa yang dilakukan oleh Guan Eng sebenarnya hanya dilakukan oleh mereka yang baru merangkak dalam dunia politik," katanya.

Pada Isnin, Guan Eng dilaporkan akhbar menyeru orang ramai untuk memakai baju berwarna kuning sebagai tanda sokongan kepada BERSIH, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang semasa menghadiri majlis anjuran BN negeri itu.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Program Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr P. Sivamurugan juga menyelar tindakan Guan Eng yang cuba mempolitikkan perayaan sesuatu kaum yang disambut dengan harmoni oleh semua penduduk negara ini.

"Tindakan beliau mencadangkan warna pakaian seakan-akan mempersendakan majlis selain beranggapan dapat mencemarkan imej penganjur iaitu BN.

"Majlis sambutan itu tidak wajar disempitkan dengan isu politik kerana ia boleh diketengahkan sebagai bukti masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama boleh bersama-sama dalam satu majlis walaupun berbeza pegangan politik," katanya.

Beliau juga berkata, tindakan setiausaha agung DAP itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak menghormati nilai perpaduan yang diterapkan oleh perdana menteri pada konsep 1Malaysia.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan pula menyifatkan gesaan Guan Eng itu sangat kebudak-budakan dan hanya dilakukan mereka yang tidak matang dalam dunia politik.

"Sebagai seorang Ketua Menteri, beliau patut tahu bahawa untuk semua agama, perayaan adalah sesuatu perkara yang suci dan tidak sepatutnya perkara baik dipolitikkan hanya kerana ia dianjurkan oleh pihak yang tidak sealiran dengan pegangan politik," katanya.

Beliau menambah, BN juga sangat menghormati pembangkang apabila menerima permohonan mereka untuk mengadakan majlis-majlis di negeri-negeri di bawah penguasaannya, tanpa memainkan sebarang isu remeh.

"Jelas BN sangat mementingkan sifat toleransi kerana memberikan ruang yang cukup kepada mereka, tapi nampaknya sikap murni itu tidak diamalkan pembangkang," katanya. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain