suria

200 Wakil NGO Berkumpul Serah Memorandum Isu Tanah Kepada K'jaan Kelantan

KOTA BAHARU: Kira-kira 200 anggota badan bukan kerajaan berhimpun di hadapan Kompleks Darul Naim di sini hari ini bagi menyerahkan memorandum mengenai isu tanah kepada kerajaan Kelantan.

Mereka yang bernaung di bawah Gerakan Tukar Kerajaan Kelantan Demi Rakyat (Tukar) itu diwakili Pengerusinya Kamaruddin Kassim, menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Khas kepada menteri besar Kelantan Zawawi Mohamed.

Kamaruddin juga menyerahkan 23 anak pokok kelapa sawit dan getah kepada kerajaan negeri.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kamaruddin berkata anak pokok tersebut merupakan simbolik kepada bantahan mereka berhubung tindakan kerajaan negeri pimpinan PAS menyerahkan tanah anak Kelantan kepada syarikat luar.

"Ia juga melambangkan kegagalan kerajaan Kelantan memerintah negeri selama 23 tahun," katanya.

Beliau berkata gerakan itu menuntut kerajaan negeri memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana memberikan pajakan tanah kepada syarikat luar.

Gerakan itu juga menuntut agar kerajaan negeri mendedahkan senarai semua syarikat dan keluasan tanah yang dipajakkan atas nama pembangunan tanah, katanya.

Menurut Kamaruddin Tukar turut mempertikaikan pajakan tanah seluas lebih 4,000 hektar kepada Syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd yang kepentingannya dimiliki dua pemimpin DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

"Rakyat Kelantan menuntut kerajaan negeri berhenti daripada membuat penafian sebaliknya memohon maaf kepada rakyat Kelantan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain