suria

Tiga Kereta Milik Shamsubahrin Disita SPRM - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu tiga buah kenderaan milik ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail yang dituduh menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2011.

Penguasa SPRM S. Faridah Selamat, 35, berkata pada 25 Disember 2011, beliau menyita tiga buah kereta jenis Mitsubishi milik Shamsubahrin iaitu model Grandis, AXS dan Triton.

Faridah berkata beliau bersama lima lagi pegawai SPRM menyita kenderaan itu di Bukit Jelutong, Shah Alam, selepas mendapat arahan daripada seorang penguasa kanan SPRM.

Ketiga-tiga buah kenderaan milik tertuduh kini berada dalam simpanan pejabat SPRM di Putrajaya, katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zarifah Zulghaffar.

Faridah berkata demikian pada perbicaraan kes Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan jumlah yang sama, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketika disoal balas peguam Afifuddin Hafifi yang mewakili Shamsubahrin mengenai sama ada anak guamnya sudah berada dalam tahanan SPRM ketika penyitaan dibuat, Faridah berkata: "Ya".

Bagaimanapun saksi ke-34 pendakwaan itu berkata beliau tidak mengingati tarikh sebenar Shamsubahrin ditahan SPRM tetapi memaklumkan tertuduh ditahan pada Disember 2011.

Perbicaraan di hadapan hakim Rozilah Salleh bersambung esok. BERNAMA

Artikel Lain