suria

Polis Semporna Tahan Empat Suspek Edar Dadah

SEMPORNA: Polis memberkas empat lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam dua operasi di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata tiga daripada mereka ditahan di Jeti Pasar Ikan Semporna pada pukul 2 petang selepas menerima maklumat awam.

Hasil pemeriksaan badan ke atas seorang daripada tiga suspek yang berusia antara 25 dan 43 tahun itu polis menemui peket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 50.3 gram, katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Katanya susulan penangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek berusia 33 tahun pada pukul 4 petang hari yang sama, ketika lelaki berkenaan sedang memandu berhampiran sebuah restoran makanan segera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Firdaus turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di daerah itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis. - BERNAMA

Artikel Lain