suria

PLUS Saran Pengguna Patuhi Jadual Elak Kesesakan

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan agar mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan pengendali lebuh raya berkenaan bagi mengelak kesesakan teruk menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina hujung minggu ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, pengguna dinasihatkan menggunakan jadual tersebut bermula 8 dan 9 Februari serta 12 hingga 17 Februari sebagaimana yang ditetapkan oleh PLUS.

"Pengguna yang menuju ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Johor dinasihatkan agar memasuki lebuh raya PLUS sebelum pukul 12 tengah hari.

"Mereka yang menuju ke destinasi lebih hampir dengan Lembah Klang seperti Tampin, Alor Gajah, Ipoh dan Simpang Pulai pula disarankan supaya bertolak antara pukul 3 petang hingga 6 petang bagi melancarkan perjalanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai jadual TTA dan persiapan pengendali lebuh raya berkenaan bagi menangani peningkatan trafik sempena Cuti Tahun Baru Cina di sini pada Selasa.

Jadual TTA merupakan cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Noorizah berkata, bagi semua perjalanan melalui Tambak Johor, Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Jambatan Pulau Pinang pula kenderaan dengan nombor pendaftaran ganjil dinasihatkan bergerak pada setiap jam ganjil bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Katanya lagi, jadual tersebut dikeluarkan bagi mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat pada waktu puncak.

"Jadual ini memainkan peranan penting dalam membantu 1.4 juta kenderaan yang dijangka menggunakan lebuh raya PLUS setiap hari menjelang cuti Tahun Baru Cina tahun ini.

"Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 1.1 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa. Jadi, pengguna PLUS digesa merancang perjalanan balik kampung mereka berdasarkan jadual yang telah disediakan," katanya.

Menurut beliau lagi, pada perayaan Tahun Baru Cina tahun lalu, lebih 50 peratus pengguna lebuh raya PLUS mengikuti jadual TTA yang dikeluarkan dan ia telah membantu mengurangkan kesesakan.

"Oleh itu, kami berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama dengan mematuhi jadual yang dikeluarkan ketika pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang," katanya.

Sementara itu, Noorizah berkata, pengguna kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik atau kad Plusmiles boleh menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus pada 7 dan 15 Februari manakala rebat 30 peratus pada 10 Februari.

"Ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai bergerak pada luar waktu puncak dan beralih kepada sistem elektronik," katanya.

Artikel Lain