suria

Laporan Bedah Siasat William Tidak Memberi Jawapan Pasti Punca Kematian - Polis

PETALING JAYA: Laporan penuh bedah siasat terhadap mayat William Yau Zhen Zhong, yang ditemui pada 24 Januari lalu berhampiran jeti di Pelabuhan Klang, tidak menemui jawapan pasti mengenai punca kematiannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Ramli berkata polis mendapat laporan pada hari Isnin tetapi ia gagal memberi petunjuk yang dapat menerangkan dengan lebih lanjut mengenai bagaimana budak lelaki berusia enam tahun itu meninggal dunia.

"Keputusan penuh telah diperolehi mengikut prosedur. Walaupun tidak mendedahkan apa-apa yang baru, laporan penuh akan membantu kita untuk menghentikan siasatan," katanya, Selasa.

Beliau menjelaskan polis akan menutup siasatan pada Jumaat dan mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memulakan inkues.

"Kami telah bekerja keras sejak tiga minggu lalu tetapi ia tidak membuahkan sebarang petunjuk baru atau teori yang boleh digunakan.

"Pada ketika ini, inkues adalah cara yang paling sesuai," katanya.

Yahaya berkata polis belum mengenal pasti mana-mana suspek dalam kes itu.

"Tiada tanda-tanda penderaan dan ibu bapa William bukan suspek.

"Lebih daripada 30 kenyataan telah direkodkan tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan perbuatan khianat," katanya.

Beliau berkata polis yang akan terus menyiasat kawasan di mana William hilang serta di mana mayatnya ditemui.

"Kami akan menyiasatnya pada minggu ini untuk menemui sebarang petunjuk baru yang mungkin membantu kami untuk menyelesaikan kes itu.

Artikel Lain