suria

Khalid Ibrahim Diminta Jelas Status Terkini CAR

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta menjelaskan status terkini berhubung penangguhan projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Rawang.

Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai berkata sejak menangguhkannya pada 19 November lepas, kerajaan Selangor masih gagal mengemukakan langkah alternatif bagi menyelesaikan isu itu.

Saya bimbang jika isu ini tidak diselesaikan secepat mungkin, rakyat terutama di Lembah Klang dan Selangor, akan menanggung akibat seperti di India baru-baru ini yang mengalami gangguan bekalan elektrik terburuk dalam sejarah negara itu, katanya pada sidang media di sini Selasa.

Projek CAR itu dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad sejak 2005 melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sejauh 59 kilometer dan apabila siap kelak akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kv kepada 275kv.

Projek itu tertangguh pada 2007 dengan baki pemasangan kabel kira-kira satu kilometer di Kampung Sungai Terentang Rawang berikutan bantahan penduduk.

Mengulas lanjut, Lim yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata isu CAR adalah satu lagi kegagalan kerajaan pakatan pembangkang menyelesaikan masalah penduduk walaupun berjanji menyelesaikan semua isu dalam tempoh 100 hari selepas memerintah.

Lim juga yakin isu CAR itu akan selesai jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat kembali mentadbir negeri.

"...malah kita sudah ada alternatif untuk menyelesaikannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain