suria

Karpal Tidak Patut Campur Tangan : Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung isu kalimah Allah adalah tepat sejajar dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak lagi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh tidak layak untuk membantah keputusan tersebut.

“Semasa saya jadi Menteri Di JPM, kita mengatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan perkataan Allah hanya untuk kitab-kitab agama Islam.

“Karpal tidak layak untuk campur tangan dalam urusan Majlis Syura dan hal ehwal agama Islam kerana itu adalah di luar bidang kuasanya.

“Apa yang saya katakan ini tiada langsung unsur politik, tapi berlandaskan unsur Islam yang menyebutkan bahawa Allah hanya satu dan tidak menyerupai dalam bentuk-bentuk lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kerjaya Kedua ATM, di sini, Selasa.

Zahid diminta mengulas tentang kenyataan Karpal bahawa Majlis Syura Ulama PAS tidak sepatutnya berpegang teguh dengan pendiriannya kerana ia bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR.

Jelasnya, Isu kalimah Allah dibangkitkan semula menjadi peralihan isu politik, ia bertujuan menarik orang bukan Islam menyokong pakatan pembangkang.

“Ini adalah taktik pakatan pembangkang untuk meraih undi daripada golongan bukan Islam terhadap parti mereka.

“Keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura itu adalah berikutan kesedaran PAS terhadap hukum tersebut adalah hukum yang tidak boleh dikompromikan,” katanya.

Artikel Lain