suria

Cadangan SAPP Keluarkan Kad Pengenalan Sabah Tidak Praktikal - Yahya

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata cadangan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk mengeluarkan Kad Pengenalan (KP) Sabah kepada rakyat Malaysia yang layak menerimanya sebaik saja parti pembangkang itu menubuhkan kerajaan negeri, adalah tidak praktikal.

Beliau berkata cadangan itu lebih merupakan 'umpan' atau janji manis untuk menawan hati dan minda rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

"Mereka (SAPP) tahu mereka tak boleh menang...sebab itu mereka berani berjanji begitu. Di Malaysia, kita hanya ada satu kad pengenalan (yang dikeluarkan) di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan kerana kita hanya menjadi rakyat sebuah negara. "Kita tak boleh keluarkan KP untuk Kedah atau Selangor kerana kita semua adalah rakyat sebuah negara iaitu Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menjadi hos pada majlis makan tengah hari untuk media, di sini, Isnin.

Yahya, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, berkata demikian apabila diminta mengulas manifesto yang diumumkan SAPP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini yang antara lain mengandungi cadangan parti itu mengeluarkan Kad Pengenalan Sabah kepada rakyat Malaysia yang berasal dari negeri ini.

SAPP, yang keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada September 2008, dipetik sebagai berkata cadangan itu bertujuan melindungi hak identiti rakyat Malaysia yang berasal dari Sabah dan untuk membezakan mereka daripada pemegang dokumen yang meragukan.

Dalam manifestonya, SAPP juga berjanji akan menolong rakyat Sabah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)Mengenai Pendatang Tanpa Izin sekiranya parti itu menubuhkan kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun menubuhkan RCI mengenai masalah pendatang asing tanpa izin dan mengumumkan pelantikan pengerusi dan anggotanya pada 11 Ogos tahun lepas.

RCI itu, yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kong, telah memulakan prosidingnya. -BERNAMA

Artikel Lain