suria

Turun Kain Rentang Ucapan Tahun Baru Cina PM Perbuatan Tidak Demokratik - Mohd Ali

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan perbuatan kerajaan negeri Pulau Pinang menurunkan kain rentang ucapan Tahun Baharu Cina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini sebagai tidak demokratik.

Beliau berkata ini kerana perdana menteri adalah pemimpin yang dipilih rakyat dan perbuatan itu seolah-olah tidak menghormati perlembagaan negara yang mendukung amalan demokrasi.

"Walau apapun alasannya, tindakan itu adalah biadap dan melambangkan keangkuhan kerajaan negeri pimpinan DAP," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Muhibah Surau Al-Khauthar di Sungai Pinang malam Ahad.

Kain rentang ucapan Selamat Tahun Baharu Cina perdana menteri itu diturunkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) atas alasan tiada permit.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya semalam menyifatkan perkara itu sebagai 'isu kecil yang diperbesar-besarkan'.

Mohd Ali berkata di Melaka, pakatan pembangkang bebas menggantung kain rentang atau poster ucapan perayaan tanpa perlu memohon permit.

"Jika setakat nak beri ucapan perayaan memang tiada halangan. Jadi kami hairan dengan sikap (kerajaan negeri Pulau Pinang) yang sengaja tunjuk kuasa tidak bertempat ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain