suria

TPM Lawat Pulau Pinang Esok, Tinjau Persiapan Jentera BN

GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang pada Selasa bagi meninjau persiapan jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Perdana Menteri yang akan ditemani isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dijadual tiba pada pukul 8.50 pagi dan memulakan aturcaranya dengan mendengar taklimat jentera pilihan raya BN Pulau Pinang dan perjumpaan dengan ketua-ketua pusat daerah mengundi di sebuah hotel di sini.

Pejabat Jabatan Penerangan Pulau Pinang dalam kenyataan di sini hari ini berkata timbalan perdana menteri akan menyertai majlis jamuan tengah hari bersama BN negeri sebelum bertolak ke Universiti Sains Malaysia (USM) untuk berjumpa kumpulan profesional dan iktisas Pulau Pinang.

Beliau kemudian dijadual menghadiri Majlis Sepetang Bersama Penduduk Taman Desa Green di Jelutong sebelum meneruskan program Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Sekolah Menengah Kebangsaan Indrawasih Prai pada pukul 8 malam.

Sementara itu Noorainee pula dalam aturcara berasingan dijadual mengadakan perjumpaan bersama penduduk di kawasan flat kos rendah Hamna di Sungai Dua dan memberi sumbangan kepada penduduk miskin pada pukul 9.30 pagi.

Beliau kemudiannya akan menghadiri program perjumpaan dan ramah mesra bersama Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Setempat di Dewan Sunshine Suntec Bayan Baru pada pukul 11 pagi.

Norainee dijadual ke Ujung Batu Bagan Dalam Butterworth untuk berjumpa penduduk dan memberi sumbangan kepada keluarga miskin pada pukul 2 petang sebelum menyertai Muhyiddin pada majlis Himpulan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru itu.

Timbalan perdana menteri dan isteri dijangka berlepas pulang ke ibu negara pada pukul 10.30 malam dari TUDM Butterworth. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain