suria

Terpengaruh Dengan Politik Nakal Boleh Binasakan Mahasiswa - Timbalan Rektor UIAM

KUALA LUMPUR: Terpengaruh dengan politik nakal bersandarkan emosi oleh pihak yang bertujuan memperkuda mahasiswa untuk kepentingan sendiri, akan membinasakan generasi pewaris legasi negara itu, kata Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Dr Mizan Hitam.

Beliau berkata sebaliknya politik yang berpaksi demokrasi sebenar dan berlandaskan nilai murni yang didukung rakyat Malaysia sejak sekian lama akan mengembangkan perwatakan dan memperkukuh jati diri mahasiswa bagi mensiapsiagakan mereka menerajui negara satu hari nanti.

"Mahasiswa perlu bijak menilai jenis politik yang dihidangkan kepada mereka, pihak yang mana kaca dan yang mana permata. Kesilapan memilih akan menyebabkan masa depan mahasiswa itu menjadi gelap.

"Dalam memilih, mahasiswa perlu tenang dan berfikir sedalam-dalamnya, menilai dengan fikiran matang isu yang dibawa pihak itu. Jangan nilai berdasarkan emosi dan 'darah muda' yang akan membinasakan mereka," katanya.

Mengulas tentang kegiatan politik di universiti itu, beliau berkata universiti berkenaan tidak mempunyai halangan bagi pelajarnya berpolitik dan percaya pelajarnya mempunyai kematangan untuk berpolitik secara sihat tanpa memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

"Universiti ini mempunyai dasar buka pintu kepada pelajar untuk mereka terlibat dalam apa-apa aktiviti asalkan ia sihat untuk perkembangan minda serta sahsiah diri mereka selain mematuhi batas undang-undang sedia ada.

"Seperti pindaan AUKU (Akta Universiti Kolej) kita benarkan mereka berpolitik di luar kampus namun tidak sekali-kali membawa politik kepartian dalam kampus. Saya percaya pelajar kita cukup matang untuk mematuhi akta ini," katanya.

Ditanya adakah antara mahasiswa UIAM bakal bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang, Mizan berkata sehingga kini tiada permohonan dibuat mahasiswa untuk menjadi calon.

"Kami di UIAM sentiasa membuka pintu kepada mahasiswa kami untuk meneroka bidang yang mampu mengembangkan mereka, tetapi dalam masa sama kami akan memantau mereka agar tidak sesekali diperguna atau terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain