suria

Syabas Nafi Jadi Punca Hakisan, Tanah Runtuh di Tmn Mega Jaya

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menafikan dakwaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bahawa kejadian hakisan dan tanah runtuh di Taman Mega Jaya, Ampang, berpunca daripada kegagalan pihaknya menyelenggara rumah pam yang terdapat di lokasi berkenaan.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata siasatan menyeluruh yang dijalankan pada 11 Jan lepas mendapati tidak terdapat rumah pam di lokasi berkenaan sebaliknya hanya loji simpanan air bagi kegunaan pengguna di Taman Mega Jaya dan kawasan sekitar.

Selain itu, beliau turut menafikan terdapat kebocoran pada loji berkenaan yang menyebabkan air dari loji tersebut mengalir hingga mengakibatkan gangguan pada struktur tanah serta berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

"Syabas turut mendapati hakisan tanah yang berlaku adalah di luar kawasan loji air tersebut serta berdekatan dengan longkang besar yang diselenggara oleh pihak MPAJ. "Syabas juga ingin menekankan bahawa kawasan loji air ini juga dilengkapi dengan saluran longkang dalaman bertujuan untuk menyalurkan air hujan keluar ke longkang besar di kawasan luar kolam yang diselenggara pihak MPAJ," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Pada 11 Jan lepas, sebuah akhbar melaporkan MPAJ mendakwa kejadian hakisan dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan bukit di Taman Mega Jaya, Ampang adalah disebabkan kegagalan Syabas menyelenggara serta terdapat kebocoran di rumah pam Syabas yang terdapat di sana.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kejadian yang berlaku bukan di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa Syabas sebaliknya pihak MPAJ.

Bagaimanapun katanya, Syabas memandang serius terhadap kejadian tersebut memandangkan ia berlaku berhampiran kawasan aset yang diselenggara pihaknya serta melibatkan keselamatan penduduk berhampiran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain