suria

Peniaga Didakwa Samun Enam Mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap enam pertuduhan melakukan samun dengan menggunakan senjata terhadap enam mangsa termasuk seorang pensyarah membabitkan kerugian hampir RM21,100.

Bagi pertuduhan pertama Awang Sazri Awang Talip, 26, didakwa menyamun dengan menggunakan pisau terhadap pembantu klinik, Hazlinda Ali, 34, dengan mengambil kad pengenalan, lesen, dua kad ATM, wang RM15 milik mangsa serta komputer riba dan wang tunai RM270 milik Klinik Halina.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas ejen hartanah, Cheng Yi, 47, dengan mengambil wang RM200, sebuah telefon bimbit dan satu kad ATM.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan sekitar Bangsar di sini, antara pukul 2.35 petang dan 2.53 petang, 8 Jan lalu.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa menyamun wang tunai RM200, sebuah telefon bimbit, sekeping kad bank serta dokumen penting milik pensyarah sebuah universiti tempatan, Loh Sau Cheong, 47, dan menyamun sebuah komputer riba milik pengusaha taska, Norfarhana Zainuddin, 24.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah rumah di Jalan Setiakasih 9, Bukit Damansara, Brickfields di sini, masing-masing pada 1.45 petang, 26 November 2012 dan 6.30 petang, 17 Januari lalu.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Awang Sazri didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima, dia dituduh menyamun menggunakan pisau sehingga mendatangkan kecederaan kepada tukang perabot warga Nepal, Ghan Bahadur Oli, 38, dan merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik mangsa di belakang bangunan One Menerung, Bangsar di sini pada 12.50 tengah hari, 10 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa merampas rantai leher emas milik penuntut, M. Jayalakshmi, 23, dengan menggunakan parang yang menyebabkan kerugian RM2,500.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkannya melapor diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain